Monday, June 14, 2010

Proses 13: Sisip

Proses sisip: proses ini dilakukan untuk mengelakkan anyaman terburai.

Proses ini menggunakan alat penyisip bagi merenggangkan bahagian anyaman bagi memudahkan lebihan bilah daun yang direncungkan (ditajamkan) masuk.

Proses 12: Lepih

Lepih juga dikenali sebagai anyaman mati pada bahagian tepi tikar sebagai mengakhiri proses anyaman.

Pelbagai jenis anyaman tepi yang biasa dilakukan seperti:
~ Tepi gigi yu
~ Tepi sepit ketam
~ Tepi tulang belut

Proses 11: Anyam

Proses anyaman diteruskan setelah proses melagang telah selesai dilakukan.

Proses 10: Taja atau lagang

Lagang merupakan tulang kepada suatu rupa bentuk anyaman.

Ukuran panjang sebidang tikar bergantung kepada ukuran lagangan yang dibuat.

Proses 9: Lurut

Proses lurut dilakukan lagi selepas bilah-bilah daun yang diwarnakan telah kering.

Proses ini dilakukan untuk memastikan bilah-bilah daun tersebut menjadi lembut dan tidak bergulung sebelum melakukan proses yang seterusnya.

Proses 8: Warna dan jemur

Selepas bilah-bilah daun telah kering, proses pewarnaan daun dilakukan. Pewarnaan dilakukan dengan menggunakan bahan pencelup atau pewarna yang berbentuk hablur atau serbuk.

Air dipanaskan sehingga mendidih sebelum dimasukkan bahan pewarna. Ia kemudian dibancuh dan dikacau.

Bilah-bilah daun mengkuang yang telah kering diikat dan dicelupkan ke dalam bancuhan warna tersebut.

Kemudian bilah daun diangkat dan dijemur supaya kering.

Proses 7: Jemur

Selepas proses merendam dilakukan, bilah-bilah mengkuang tersebut dijemur di bawah sinaran matahari untuk dikeringkan.

Proses 6: Rendam

Proses rendam: proses ini dilakukan untuk melunturkan warna asal daun mengkuang (hijau).

Selepas melurut, bilah-bilah daun diikat untuk direndam ke dalam air biasa selama dua hari dua malam. Air ditukar setiap hari.

Selepas cukup tempoh direndam, ikatan ini dibuka untuk dicuci dan dijemur.

Proses 5: Lurut

Daun mengkuang yang telah dijangka dilurut dengan mengunakan alat pelurut.

Proses ini dilakukan berulang kali supaya bilah daun menjadi lembut dan tidak bergulung.





Proses 4: Buang duri dan jangka

Proses jangka: proses membelah daun mengkuang menjadi bilah-bilah kecil dengan menggunakan alat jangka.

Saiz bilah mengkuang ditentukan melalui penggunaan jangka.Sekiranya bilah yang bersaiz kecil dikehendaki, jarak mata jangka yang rapat digunakan.

Semasa proses menjangka ini dijalankan, duri yang terdapat di bahagian kiri dan kanan daun akan dibuang.













Friday, June 4, 2010

Proses 3: Layur

Proses layur : proses ini dilakukan supaya daun mengkuang menjadi kukuh dan tahan lama.

Daun mengkuang yang telah dipotong tadi dilayur dengan api yang sederhana besar. Layuran sempurna apabila daun mengkuang tersebut kelihatan berminyak.









Proses 2: Potong mengkuang

Tidak semua daun mengkuang mempunyai panjang yang sama. Ia dibahagikan kepada mengkuang panjang dan mengkuang pendek. Daun mengkuang disusun supaya senang dipotong mengikut ukuran.









Proses 1: Tetak mengkuang

Daun mengkuang yang matang ditetak menggunakan parang panjang. Sarung tangan dipakai untuk mengelakkan tangan terkena duri mengkuang.