Showing posts with label Proses sedia mengkuang. Show all posts
Showing posts with label Proses sedia mengkuang. Show all posts

Thursday, November 10, 2016

Tikar mengkuang in making

In making tikar mengkuang, size 6 feet x 4 feet.
 Jenuh juga nak buat anyaman kelarai ni. Kalau tersilap anyam, kena buka kemudian anyam semula... :(


Sunday, December 11, 2011

Tetak mengkuang

Membantu ibu menetak dan mengumpulkan daun  mengkuang.
Proses ini pernah diceritakan sebelum ini di sini, TETAK MENGKUANG.

Kali ini mengkuang yang tidak mempunyai duri ditetak. Daun mengkuang ini lebih pendek dan kurang lebar berbanding daun mengkuang berduri. Walaupun ia tidak berduri, namun ia tetap sukar ditetak kerana dikelilingi semak samun. Dengan gigih dan kesabaran yang dikurniakan Ilahi, kami berusaha mengumpulkan daun mengkuang ini demi kelangsungan produk kraf mengkuang.




Terima kasih Allah...

Wednesday, October 19, 2011

Proses warna dan jemur

Bismillaa hirrahmaa nirrahim

Tika ini, kami sedang berusaha gigih untuk menyiapkan tempahan beg mengkuang sebanyak 100 buah. Sempat mengambil beberapa keping gambar untuk proses mewarna mengkuang dan jemur. Sebelum ini, proses warna dan jemur mengkuang ada disebut disini PROSES 8: WARNA DAN JEMUR.

Menurut tempahan yang diterima, pelanggan menginginkan beg mengkuang yang mempunyai dua warna. Untuk itu, kita menggunakan kaedah mewarna mengkuang yang diberi nama celup tunggeng. Hahaha... sudah tentulah nama yang diberikan dalam bahasa Ganu. Ada nama lain ke?



Ini adalah mengkuang yang ingin diwarnakan, ia perlu diikat kemas.

                                            


Sebelum ke proses celup tunggeng, ingin ditunjukkan kaedah celup mengkuang yang biasa dilakukan iaitu celup tenggelam (hahaha, ia ke namanya ni?). Kesemua bahagian mengkuang direndamkan didalam air mendidih (yang telah dibancuh warna) selama beberapa minit.



  Apabila berpuas hati dengan warna yang terhasil iaitu sebati dengan mengkuang, maka bolehlah ia dikeluarkan daripada periuk. Penyediaan warna ini memerlukan kreativiti kreatif yang tinggi kerana warna serbuk pewarna mengkuang yang wujud hanyalah dalam bentuk warna asas iaitu kuning, biru dan merah sahaja.


Celup tunggeng: merendamkan sebahagian mengkuang dalam air berwarna yang mendidih selama beberapa minit.

                                



 Angkat untuk menyediakan warna yang seterusnya.
 
                      


Kemudian hujung mengkuang yang belum diwarnakan direndam dalam air panas (air yang telah dibancuh dengan warna lain) selama beberapa minit. 
                         
                    
                           
 Angkat dan bilas dengan air sejuk.
                                        
                                
                      
 Mengkuang dijemur diampaian untuk dikeringkan.
                              
                                 


                            
                                  
                             
Proses mewarna mengkuang mengambil masa sehari untuk disiapkan dan dikeringkan. Jika cuaca cerah, cepatlah kering. Jika cuaca mendung, lambat lah sikit kering.

Rumitkan? Ye, memang ia memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi.

Kepada sesiapa yang ingin menempah barangan mengkuang, boleh hubungi kami melalui email atau telefon seperti yang tertera di sebelah.

Sekian, terima kasih.

                    

Monday, June 14, 2010

Proses 13: Sisip

Proses sisip: proses ini dilakukan untuk mengelakkan anyaman terburai.

Proses ini menggunakan alat penyisip bagi merenggangkan bahagian anyaman bagi memudahkan lebihan bilah daun yang direncungkan (ditajamkan) masuk.

Proses 12: Lepih

Lepih juga dikenali sebagai anyaman mati pada bahagian tepi tikar sebagai mengakhiri proses anyaman.

Pelbagai jenis anyaman tepi yang biasa dilakukan seperti:
~ Tepi gigi yu
~ Tepi sepit ketam
~ Tepi tulang belut

Proses 11: Anyam

Proses anyaman diteruskan setelah proses melagang telah selesai dilakukan.

Proses 10: Taja atau lagang

Lagang merupakan tulang kepada suatu rupa bentuk anyaman.

Ukuran panjang sebidang tikar bergantung kepada ukuran lagangan yang dibuat.

Proses 9: Lurut

Proses lurut dilakukan lagi selepas bilah-bilah daun yang diwarnakan telah kering.

Proses ini dilakukan untuk memastikan bilah-bilah daun tersebut menjadi lembut dan tidak bergulung sebelum melakukan proses yang seterusnya.

Proses 8: Warna dan jemur

Selepas bilah-bilah daun telah kering, proses pewarnaan daun dilakukan. Pewarnaan dilakukan dengan menggunakan bahan pencelup atau pewarna yang berbentuk hablur atau serbuk.

Air dipanaskan sehingga mendidih sebelum dimasukkan bahan pewarna. Ia kemudian dibancuh dan dikacau.

Bilah-bilah daun mengkuang yang telah kering diikat dan dicelupkan ke dalam bancuhan warna tersebut.

Kemudian bilah daun diangkat dan dijemur supaya kering.

Proses 7: Jemur

Selepas proses merendam dilakukan, bilah-bilah mengkuang tersebut dijemur di bawah sinaran matahari untuk dikeringkan.

Proses 6: Rendam

Proses rendam: proses ini dilakukan untuk melunturkan warna asal daun mengkuang (hijau).

Selepas melurut, bilah-bilah daun diikat untuk direndam ke dalam air biasa selama dua hari dua malam. Air ditukar setiap hari.

Selepas cukup tempoh direndam, ikatan ini dibuka untuk dicuci dan dijemur.

Proses 5: Lurut

Daun mengkuang yang telah dijangka dilurut dengan mengunakan alat pelurut.

Proses ini dilakukan berulang kali supaya bilah daun menjadi lembut dan tidak bergulung.





Proses 4: Buang duri dan jangka

Proses jangka: proses membelah daun mengkuang menjadi bilah-bilah kecil dengan menggunakan alat jangka.

Saiz bilah mengkuang ditentukan melalui penggunaan jangka.Sekiranya bilah yang bersaiz kecil dikehendaki, jarak mata jangka yang rapat digunakan.

Semasa proses menjangka ini dijalankan, duri yang terdapat di bahagian kiri dan kanan daun akan dibuang.













Friday, June 4, 2010

Proses 3: Layur

Proses layur : proses ini dilakukan supaya daun mengkuang menjadi kukuh dan tahan lama.

Daun mengkuang yang telah dipotong tadi dilayur dengan api yang sederhana besar. Layuran sempurna apabila daun mengkuang tersebut kelihatan berminyak.









Proses 2: Potong mengkuang

Tidak semua daun mengkuang mempunyai panjang yang sama. Ia dibahagikan kepada mengkuang panjang dan mengkuang pendek. Daun mengkuang disusun supaya senang dipotong mengikut ukuran.









Proses 1: Tetak mengkuang

Daun mengkuang yang matang ditetak menggunakan parang panjang. Sarung tangan dipakai untuk mengelakkan tangan terkena duri mengkuang.